KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melakukan semakan perundangan berkaitan ekosistem penjagaan, mengambil kira terdapat akta yang tidak dilihat semula selepas tempoh puluhan tahun.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata langkah itu adalah satu daripada lima stategi utama dalam Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030 yang dijangka dilancarkan kementerian itu minggu depan.
Katanya, ketika ini terdapat beberapa akta berkaitan sudah dikenal pasti dan dijangka diberi nafas baharu sesuai dengan perkembangan semasa, khususnya bagi mendepani cabaran negara menua yang sedang didepani Malaysia.
“Menyedari keperluan dan permintaan perkhidmatan penjagaan yang dijangka terus meningkat, KPWKM sedang dalam proses membangunkan ekosistem industri penjagaan yang kukuh melalui pembangunan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030.
“Dalam usaha memastikan kelestarian ekonomi penjagaan di negara ini, kerangka strategik terbabit akan mengetengahkan lima strategi, satu daripadanya adalah pengukuhan perundangan dan tatakelola berkaitan penjagaan.
“Undang-undang berkaitan penjagaan di bawah kawal selia KPWKM sudah berusia melebihi 10 tahun dengan ada yang sudah cecah 40 tahun. Justeru, akta-akta ini wajar disemak semula dan diberi nafas baharu bersesuaian perkembangan semasa.
“Antara akta itu adalah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308), Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (AKta 685),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu perincian mengenai Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030 khususnya dalam memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan di negara ini.
Nancy turut memaklumkan, empat lagi strategi utama dalam kerangka terbabit adalah pembangunan kompetensi dan laluan kerjaya, advokasi, pemerkasaan kolaborasi strategik dan penyelidikan, teknologi dan data.
Menjawab soalan asal Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai hala tuju dan usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi penjagaan yang inklusif, Nancy berkata Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030 meliputi skop yang luas, bukan sahaja warga emas, malah turut memberi tumpuan kepada penjagaan kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU).
“Kerangka strategik ini adalah dokumen yang telah dibangunkan melalui pendekatan ‘whole of nation’ membabitkan kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan juga pakar dalam bidang penjagaan.
“Insya-Allah, kita merancang untuk melancarkan kerangka strategik ini semasa penganjuran `The New Frontiers in The Care Economy Conference’ peringkat ASEAN oleh KPWKM yang berlangsung minggu depan, 4 dan 5 November,” katanya.-BH Online
