KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang menggubal beberapa kerangka undang-undang dan dasar baharu, termasuk Akta Antiberita Tidak Benar, garis panduan etika bagi pempengaruh media sosial, serta kerangka perundangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor media.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata cabaran terbesar kini ialah fenomena penyebaran maklumat serta berita palsu yang bukan saja mencemarkan landskap maklumat, malah turut mengancam keharmonian sosial dan keselamatan negara.
“Laporan Ipsos Digital 2025 menunjukkan rakyat Malaysia meluangkan masa purata lapan jam sehari dalam talian, menjadikan kita antara pengguna Internet paling aktif di rantau ini.
“Namun, bersama kebebasan digital ini datang tanggungjawab yang besar.
“Kementerian Komunikasi menerima lebih 15,000 aduan berkaitan kandungan berbahaya, berita palsu dan jenayah siber pada tahun lalu saja.
“Ini membuktikan literasi media dan komunikasi beretika bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas bagi kelangsungan masyarakat digital kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi Dua Tahunan Ke-19 (MENTION2025) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Menara AFFIN, Tun Razak Exchange (TRX) di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Seterusnya, Fahmi berkata, kementerian turut mengguna pakai pendekatan Komunikasi Perubahan Sosial dan Tingkah Laku (SBCC) dalam beberapa kempen nasional penting melalui pelbagai inisiatif.
Dalam konteks kesihatan awam, beliau berkata, masyarakat menyaksikan bagaimana komunikasi strategik memainkan peranan penting ketika pandemik COVID-19, khususnya dalam meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan komuniti.
“Dalam isu kelestarian alam sekitar pula, kempen kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal dan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, telah menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara.
“Dari aspek perpaduan nasional, naratif media yang inklusif dan sensitif terhadap budaya, telah membantu memperkukuhkan jalinan masyarakat majmuk negara,” katanya.
Fahmi turut menggariskan lima bidang tumpuan utama bagi memperkukuhkan landskap media dan komunikasi negara selaras agenda Malaysia MADANI.
Lima bidang terbabit ialah literasi media dan digital dalam kalangan generasi muda; komunikasi antara budaya dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia; memperkukuhkan komunikasi kesihatan; mengiktiraf peranan belia dalam advokasi dan perubahan sosial; serta menggalakkan kerjasama antara kerajaan, institusi akademik, industri media dan masyarakat sivil.
MENTION2025 yang kini memasuki edisi ke-19, menghimpunkan lebih 80 peserta dan pembentang termasuk ahli akademik, pengamal industri media dan komunikasi, pembuat dasar serta wakil komuniti dari dalam dan luar negara.
Bertema ‘Media dan Komunikasi untuk Perubahan: Memacu Transformasi dan Kesejahteraan Masyarakat’, persidangan itu memberi tumpuan kepada SBCC sebagai pemacu transformasi positif dalam masyarakat.-BH Online
