PUTRAJAYA: Malaysia dan Brazil sepakat memperkasakan kerjasama dua hala dalam bidang strategik merangkumi semikonduktor, teknologi makanan dan pendidikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan memperkukuh hubungan sedia ada, selain membuka ruang pertukaran kepakaran dan pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Perbincangan kami hari ini membabitkan pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan tenaga.
“Bagi pihak Malaysia, saya berterima kasih atas sokongan anda (Brazil) terhadap Petronas.
“Kami juga bersetuju memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, semikonduktor, teknologi makanan dan pendidikan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva sempena lawatan rasmi tiga hari pemimpin terbabit ke Malaysia, hari ini.
Lawatan rasmi Presiden Brazil itu juga adalah sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Mengulas lanjut, Anwar turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang latihan diplomatik dan penyelidikan, selain mengukuhkan hubungan kebudayaan antara kedua-dua negara.
“Saya ingin menegaskan hubungan Malaysia-Brazil bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, tetapi dua sahabat yang berkongsi cita-cita dan keyakinan yang sama.
“Marilah kita pastikan kedua-dua negara dan rantau masing-masing, Amerika Selatan dan ASEAN bekerjasama erat serta menjadi tonggak utama memperkukuh hubungan yang melangkaui perdagangan, pelaburan, politik dan budaya,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Lula di atas komitmennya menangani isu kemanusiaan dan alam sekitar bukan saja di Brazil, malah pada peringkat global.
Katanya, pendirian Presiden Brazil itu sentiasa konsisten memperjuangkan nasib rakyat miskin dan golongan tertindas serta pendekatannya dalam dasar luar membabitkan isu kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza
“Ini menunjukkan iltizam anda terhadap dasar yang mampu menyelamatkan dunia dan masyarakat antarabangsa.
“Malah, dalam siri pertemuan di Rio dan di sini, kami mengagumi ketabahan, tujuan dan keberanian anda dalam mempertahankan prinsip keadilan dan maruah manusia. Nilai ini juga dekat di hati rakyat Malaysia, khususnya dalam isu Gaza,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU), tiga berkaitan industri semikonduktor, satu mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), dan kerjasama antara badan pemikir.
Turut disaksikan ialah pertukaran Nota Diplomatik antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Instituto Rio Branco, serta Surat Hasrat (Letter of Intent) antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perbadanan Penyelidikan Pertanian Brazil (EMBRAPA).-BH Online
