Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JAKARTA: Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan memperhebat usaha memperkukuh industri halal dalam kalangan negara anggotanya dengan memberi tumpuan terhadap produk berpotensi tinggi untuk dipasarkan pada peringkat antarabangsa.

Presidennya, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, berkata langkah itu penting dalam memastikan negara anggota dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing, terutama dari segi sumber bahan mentah, kemahiran tenaga kerja serta peluang pelaburan bagi memperkasa ekonomi umat Islam.

Beliau yang juga Yang Dipertua Negeri Melaka, berkata antara contoh boleh diketengahkan ialah Kemboja yang memiliki banyak bahan mentah untuk industri halal, namun menghadapi kekangan aspek tenaga kerja mahir dan pembiayaan industri.

“Melalui kerjasama strategik antara negara anggota DMDI, lebih banyak produk halal boleh dihasilkan dan dipasarkan secara meluas di seluruh dunia.

“Ini bukan saja membantu memperkukuh ekonomi negara terbabit, tetapi juga mampu meningkatkan pendapatan pekerja industri,” katanya ketika menutup Konvensyen DMDI Ke-23 di Hotel Borobudur di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Institut Kajian Strategi Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Hanum Hassan.

Mohd Ali berkata, transformasi digital memainkan peranan penting sebagai kunci kebangkitan ekonomi dalam kalangan negara rumpun Melayu dan Islam.

Katanya, dunia kini menyaksikan potensi besar dalam industri halal global dan pelaksanaan digitalisasi perlu dijadikan langkah utama supaya usahawan kecil dan sederhana dapat menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Melalui digitalisasi, golongan usahawan akan berpeluang memperluas pasaran ke peringkat global dan memperkukuh daya saing masing-masing dalam era ekonomi berasaskan teknologi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, DMDI turut memberi penekanan terhadap aspek kebajikan dan kemanusiaan melalui pelaksanaan program bank makanan yang dijalankan di negara anggota.

Katanya, DMDI dan program itu mempunyai hubungan rapat, terutama melalui pelaksanaan inisiatif bagi menangani isu kekurangan makanan dan kebajikan kemanusiaan dalam komuniti.

“Program ini membabitkan proses pengumpulan, penyimpanan dan pengagihan makanan serta keperluan harian golongan memerlukan, sejajar visi `ketahanan pangan’ (tiada siapa yang akan kelaparan) dan kesejahteraan umat,” katanya.

Mohd Ali berkata, ketika ini, DMDI aktif membangunkan dan menyokong pelaksanaan bank makanan di pelbagai wilayah, khususnya di Indonesia, Malaysia dan Singapura, dan pada masa sama bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk yayasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta institusi pendidikan bagi menerima sumbangan dan memperluas capaian program itu.

“Melalui kerjasama ini, DMDI berperanan sebagai penghubung antara penderma dan penerima manfaat, sekali gus memperkukuh jaringan solidariti kemanusiaan dalam dunia Melayu dan Islam,” katanya.-BH Online