KUALA LUMPUR: ASEAN kekal dengan pendirian pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai dasar dalam menangani situasi di Myanmar, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan,
Katanya, ASEAN juga tidak berganjak dengan keputusan berkenaan dan akan memastikan asas itu menjadi tonggak perbincangan bagi memastikan Myanmar kembali ke keadaan biasa.
“Ia (setiap tindakan) mesti diselesaikan melalui 5PC dan apa yang kita mahu adalah supaya diadakan dialog, membenarkan bantuan kemanusiaan sampai, mengembalikan dialog dengan semua pihak dan pelbagai lagi.
“Keduanya adalah mengenai bantuan kemanusiaan yang dilihat masih lagi terganggu dan masih banyak tempat yang mempunyai sekatan sehingga menyebabkan bantuan itu terganggu dan tidak sampai.
“Kita minta Myanmar memastikan bantuan itu sampai,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Perundingan Tidak Formal Mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, perbincangan itu juga menyentuh mengenai jenayah rentas negara yang dilihat mendatangkan banyak mudarat kepada negara-negara berjiran dengan Myanmar.
“Ia bukan sahaja negara berjiran, tetapi banyak negara lain yang rakyatnya terbabit dengan jenayah rentas negara ini.
“Oleh itu, kita mahu agar Kerajaan Myanmar dan juga pihak-pihak yang bertanggungjawab di negara itu harus menghentikan keadaan ini kerana ia sudah menjadi masalah kepada negara-negara dalam ASEAN khususnya,” katanya.null
Mohamad berkata perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai kekejaman terhadap rakyat yang menjadi mangsa.
“Kalau tak sokong mereka, mereka akan melakukan kekejaman, dan akhirnya rakyat tersepit di tengah-tengah. Kita desak perkara ini dihentikan,” katanya.
Mengenai pemerhati pilihan raya, Mohamad berkata, ia akan tetap diadakan oleh pihak pentadbir di Myanmar.
“Pilihan raya itu mestilah pilihan raya yang telus dan inklusif, disertai oleh semua rakyat, bukannya cuma sebahagian rakyat Myanmar yang boleh menyertainya. Kita bincangkan dan akan kita bawa kepada Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Ahad ini,” katanya.-BH Online
