KUALA LUMPUR, 24 Oktober– Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa tiga inisiatif baharu yang dilancarkan di bawah Inisiatif ASEAN berkenaan keterangkuman dan kemampanan akan menjadi tonggak utama dalam membentuk hala tuju Komuniti ASEAN 2045.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran berkenaan yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.
“Tiga perkara yang dilancarkan hari ini ialah Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk PMKS (MSME) dalam Peralihan Hijau, laporan ASEAN AHEAD: Science, Technology and Innovation Ecosystem Foresight 2035, serta laporan ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future,” katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga pelancaran ini masing-masing melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) mencerminkan komitmen ASEAN terhadap sains, teknologi hijau dan kelestarian.
“Ini merupakan tiga tonggak utama yang akan menjadi panduan kepada ASEAN dalam membangunkan Komuniti ASEAN 2045 pembangunan yang tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar, sains dan teknologi,” katanya.
Datuk Seri Mohamad berkata pembangunan rantau ini perlu dilaksanakan secara seimbang, dengan memastikan kemajuan tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat atau memusnahkan alam sekitar.
“Kita mahu membangunkan ASEAN untuk 20 tahun akan datang dengan asas yang kukuh, berteraskan sains, teknologi dan kelestarian, supaya kita tidak hilang arah dan memastikan pembangunan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.-Berita RTM
