Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertahanan menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam kes buli.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelaku boleh dikenakan tindakan tatatertib, digantung tugas atau diberhentikan daripada perkhidmatan selaras Akta Angkatan Tentera 1972.

“Secara dasarnya, kesalahan buli boleh disiasat dan disabitkan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972. Antara tindakan punitif yang boleh dikenakan ialah tindakan tatatertib melalui perbicaraan terus atau Mahkamah Tentera.

“Pemberhentian daripada perkhidmatan bagi kesalahan serius dan penggantungan tugas atau hukuman. Hukuman ini bertujuan memberikan pengajaran dan memastikan mesej jelas bahawa budaya buli tidak akan dikompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau berkenaan tindakan yang diusahakan untuk membendung kes buli dan mewujudkan persekitaran yang selamat bagi anggota ATM.

ATM turut memperkukuh langkah pencegahan menerusi pelaksanaan Polisi Sifar Toleransi terhadap buli, program pendidikan etika ketenteraan, kempen kesedaran serta kursus kepimpinan di semua peringkat latihan.

Pemantauan turut diperketat melalui lantikan Pegawai Pengawas, rondaan berkala di asrama serta pelaksanaan ‘buddy system’.-Berita RTM