Hubungan kerjasama Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang pendidikan terus diperkukuh menerusi pembaharuan Perjanjian Fulbright hingga 2035 yang ditandatangani di ibu negara petang tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama itu dilihat memberi impak dan platform penting kepada kerjasama pendidikan kedua-dua buah negara.
“Ini merupakan hari yang penting, kerana perjanjian kerjasama bagi kedua-dua buah negara terus dilanjutkan bermula Ogos 2025 hingga 2035. Ini menandakan bahawa hubungan yang baik diantara kedua-dua buah negara melalui persefahaman bersama dalam bidang pendidikan yang kita panggil MACEE (Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia – Amerika),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pembertia selepas menyaksikan pembaharuan Perjanjian Fulbright di ibu negara yang turut dihadiri Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan
Kerajaan akan mengambil langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Beberapa langkah akan diambil untuk meningkatkan lagi hubungan pendidikan, iaitu dengan membentuk satu program yang kita panggil sebagai Global Talent melalui Fulbright Scholarship Initiative yang akan dilakukan dengan kerjasama MACEE. Diharapkan kerjasama ini akan dapat menambahkan lagi bilangan anak-anak Malaysia yang dapat menyambung pelajaran ke universiti-universiti ternama di Amerika Syarikat,” katanya lagi.
Perjanjian yang dimeterai sejak 1963 itu merupakan asas kepada penubuhan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE), dan sehingga kini lebih 1000 pelajar Malaysia dan lebih 2000 pelajar Amerika Syarikat telah mendapat faedah darinya.-Berita RTM
