Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah antara lapan isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang dibincangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perbincangan turut membabitkan isu pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak, mengikut Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, pembangunan sempadan Sabah, Sarawak-Kalimantan, pertambahan bilangan ahli Dewan Rakyat dari kedua-dua wilayah di Dewan Rakyat serta Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Cadangan pindaan item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan kepada Senarai III (Bersama), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan serta isu kesihatan dan pendidikan.

“Terdapat 29 perkara dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63 iaitu Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), dipengerusikan Perdana Menteri.

“Sehingga kini, 13 perkara dikategorikan sebagai selesai, manakala satu lagi diklasifikasikan selesai secara interim, sudah mencapai keputusan dasar (dua); masih dalam perbincangan (lapan) dan dirujuk untuk perbincangan atau keputusan peringkat tertinggi (lima),” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei (PBM-Julau) mengenai isu tertunggak di bawah MA63 serta perkembangan terkini perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak dan Sabah berhubung perkara itu.

Fadillah berkata, Kajian Semula Pemberian Khas bagi Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dikategorikan selesai secara interim.

“Keputusan dasar pula sudah dicapai bagi pemberian kuasa mengenai alam sekitar serta kuasa pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan).

“Royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012; hak negeri ke atas pelantar benua serta duti setem ke atas instrumen pemindahan, caj, menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68) dan Kanun Tanah Sarawak (Bab 81)kini dirujuk bagi perbincangan atau keputusan peringkat tertinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan beriltizam menyegerakan penyelesaian semua perkara di bawah MA63, namun tempoh penyelesaian setiap perkara tertakluk kepada proses perundangan berkaitan.

Selain itu, katanya, tahap kesediaan kerajaan Sabah dan Sarawak daripada sudut operasi, sumber manusia dan kewangan juga adalah antara aspek perlu diambil kira sebelum suatu perkara di bawah MA63 dapat diselesaikan.

“Semua perkara di bawah MA63 yang belum diselesaikan akan terus dipantau Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri selaku Sekretariat kepada MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 bersama semua pemegang taruh di peringkat Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak,” katanya.-MyMetro Online