Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM500,000 kepada Yayasan ANGKASA menjadikan dana itu sebanyak RM1 juta untuk tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, peningkatan dana itu memberi peluang lebih luas kepada anak-anak komuniti koperasi khususnya golongan kurang berkemampuan mendapat bantuan pendidikan.

“Penambahan dana ini akan membolehkan Yayasan ANGKASA membantu lebih ramai anak ahli koperasi yang memerlukan, khususnya daripada golongan B40 atau keluarga yang berdepan kesukaran menampung yuran pengajian anak mereka di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA khas untuk anak-anak Sabah di sini.

Dalam majlis sama, Datuk Ewon turut mengajak lebih banyak koperasi dan syarikat korporat tampil menyumbang, demi memperkukuh pembangunan pendidikan koperasi di seluruh negara.

Sementara itu Pengerusi Yayasan ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, melalui tabung khas itu ia menyasarkan sekurang-kurangnya 30 pelajar anak koperasi di Sabah bakal menerima biasiswa dan bantuan pendidikan bagi sesi akademik 2026/2027.

“Kita berharap dengan peningkatan sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat di Sabah ke dalam tabung tersebut, lebih ramai pelajar dari negeri ini dapat ditawarkan tajaan bagi membiayai yuran pengajian mereka di Universiti Koperasi Malaysia,” katanya.

Langkah proaktif itu bukan sekadar membantu pelajar, tetapi turut memperkukuh masa depan koperasi Malaysia sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga muda berilmu dan berdaya saing.-Berita RTM