SHAH ALAM: Pendekatan kerjasama antara kerajaan negeri, kementerian, pemimpin semua peringkat, negeri, ketika pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu boleh dijadikan panduan dalam menangani isu keselamatan sekolah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua pihak harus menerima hakikat yang memerlukan paradigma yang besar membawa perubahan dalam membentuk reformasi pendidikan.
“Kalau paradigma itu berjaya diubah, reformasi pendidikan kita itu akan mencapai kejayaan ataupun mencatatkan hasil yang penting.
“Ini satu pengajaran penting besar yang kadang-kadang kita lupa ketika menghadapi masalah seperti ketika berdepan pandemik COVID-19 dulu.
“Sebenarnya pandemik COVID-19 memberikan satu perubahan paradigma besar dalam kita menjaga kesihatan, baru kita sedar adanya kesihatan awam. Masa pandemik COVID-19, kita gunakan pendekatan menyeluruh … macam mana masyarakat kita bertindak untuk menyelesaikan masalah ini.
“Sekarang di depan mata kita, kita lihat bertimpa-timpa (masalah sosial membabitkan pelajar sekolah).
“Sebagaimana satu pandemik ataupun epidemik, ini masalah anak-anak, pembesaran dan juga pemikiran anak-anak yang perlukan pendekatan menyeluruh bukan menyalahkan sekolah semata-mata,” katanya ketika pada majlis penutup Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini hari ini.
Amirudin berkata, beliau percaya bahawa pendidikan adalah satu usaha bersama untuk masa depan anak-anak.
“Sudah pasti, kerajaan juga sudah pasti ada tanggungjawabnya termasuk menyediakan kerangka dasar, menyediakan intervensi dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kebertanggungjawab yang perlu dititikberatkan kepada ahli dalam kumpulan, komuniti dan keluarga.
“Sudah pasti setiap pimpinan ada kebertanggungjawabannya. Semakin tinggi pangkatnya, lebih banyak tanggungjawab masing-masing, sama ada pemimpin, guru, ketua keluarga.
“Sekiranya di rumah sudah berjaya mengawal keluarganya, dalam masyarakat juga boleh melaksanakannya. Insya-Allah, kita akan dapat mencapai apa yang dikatakan reformasi pendidikan,” katanya.-BH Online