KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan secara terbuka dan tanpa syarat menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru itu, Anwar dan Muhammad Sanusi mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka dalam prosiding saman fitnah membabitkan kedua-dua belah pihak di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah.
Saman fitnah difailkan Anwar terhadap Muhammad Sanusi pada 13 Disember 2022 berhubung ucapan dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Peguam Datuk S N Nair ketika dihubungi berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee merekodkan penghakiman persetujuan pada prosiding hari ini.
Menurut kenyataan bersama, menyatakan keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak.
Berikutan itu, pihak-pihak sudah bersetuju untuk menamatkan pertikaian secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak.
“Selaras dengan itu, Datuk Seri Anwar yang menghargai usaha murni itu, bersetuju untuk menarik semula guaman sivil terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini selepas daripada ini,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Anwar dan Muhammad Sanusi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Johan Lee kerana tanpa usaha mediasi beliau, penyelesaian itu tidak mungkin berlaku.
Penghargaan turut diberikan kepada pegawai mahkamah yang terbabit atas profesionalisme dan budi bicara mereka dalam mengendalikan kes ini.
Kedua-dua pihak juga berharap supaya penyelesaian berkenaan diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara.
Selain Nair, peguam yang turut hadir bagi Anwar selaku plaintif pada prosiding hari ini ialah peguam L Narendran manakala Yusfarizal Yussoff bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi.-BH Online