PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan pasport menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang melarikan diri ke luar negara, sudah pun dibatalkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pembatalan itu dilakukan oleh Jabatan Imigresen.
“Sudah, sudah (pasport Muhammad Adlan sudah dibatalkan. Saya diberi faham oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan permohonan individu tersebut (menantu Muhyiddin).
“Hal itu (pembatalan pasport) telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen. Yang itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi 2025 KDN, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pembatalan pasport itu dibuat.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Adlan, 49, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.
Saifuddin mengulas laporan media hari ini berhubung beberapa keping gambar yang dikongsi sumber kepada New Straits Times mengenai dakwaan keberadaan Muhammad Adlan di sebuah negara Asia Barat.
Foto berkenaan menunjukkan Muhammad Adlan bersama beberapa individu kenamaan dari Asia Barat serta berada di lapang sasar menembak dipercayai di Thailand.
Ditanya kemungkinan Muhammad Adlan menggunakan pasport lain untuk ke negara lain, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu perlu disemak terlebih dahulu.
Mengenai status permohonan untuk menyenaraikan notis merah oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) terhadap Muhammad Adlan, Saifuddin Nasution mengesahkan ia sudah dilakukan oleh Ketua Polis Negara terdahulu, Tan Sri Razarudin Husain selepas menerima permohonan daripada SPRM.
“Kalau nak masukkan nama seseorang dalam senarai INTERPOL, agensi macam SPRM kena buat melalui polis,” katanya.-BH Online