Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Malaysia memberi jaminan keselamatan tertinggi kepada semua pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, semua agensi keselamatan sudah diarah memastikan tahap kawalan rapi sepanjang sidang berlangsung, bagi menjamin keselamatan setiap delegasi dan kelancaran acara berkenaan.

“Isu keselamatan menjadi keutamaan kerana semua pemimpin dunia akan berada di sini (Malaysia) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Semua pemimpin dan delegasi dijamin keselamatan sepenuhnya,” katanya pada sesi Taklimat bersama Ketua Pengarang di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perhimpunan yang akan berlangsung hujung minggu ini bagi membantah kehadiran Trump.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara selagi ia dilakukan secara aman dan mengikut undang-undang.

“Malaysia kekal terbuka kepada pandangan berbeza tetapi menolak sebarang bentuk tindakan ekstrem yang boleh menjejaskan imej negara.

“Kalau ada yang mahu menyatakan pendirian, itu hak mereka. Tapi kita tidak boleh biarkan ada pihak yang cuba sabotaj atau mengganggu perjalanan sidang kemuncak ini,” katanya.

Beberapa aktivis dan kumpulan politik sebelum ini merancang untuk mengadakan perhimpunan pada Ahad ini di ibu negara bagi membantah kehadiran Presiden AS itu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini dan menjadi kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025, dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.-MyMetro Online