Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Perincian dasar dan polisi yang terkandung dalam draf penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli dijadualkan akan dibentangkan kepada Kabinet esok sebelum dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penggubalan RUU terbabit hampir siap sepenuhnya.

“Esok (draf RUU dibentangkan). Apabila Jemaah Menteri bersetuju dengan polisi (dalam draf RUU) itu, bagi peringkat seterusnya adalah (penggubalan lengkap) RUU. 

“RUU itu juga hampir siap, namun kita perlu membentangkan (terlebih dulu) dasar umum (yang terkandung dalam RUU).

“Jadi sesi dialog awam (townhall) kita lakukan ini, dengan penyertaan rakyat dan beberapa kementerian membantu kami menilai sebarang maklum balas.

“Selepas Kabinet meluluskan polisi itu, kita akan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen di luar sana dan menyambung perbincangan umum. Ini pembabitan dengan orang ramai, secara tidak langsung,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program Sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Sabah di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Azalina berharap RUU itu dapat dibawa ke persidangan Parlimen pada bulan ini, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan memberi tempoh enam bulan kepada Azalina mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU terbabit.

Sementara itu, Azalina berkata, pihaknya berharap RUU terbabit menjadi jalan penyelesaian kes berkaitan buli yang lebih cepat berbanding proses mahkamah yang mengambil tempoh panjang.

Beliau berkata, tribunal terbabit memainkan peranan sebagai badan separa kehakiman yang mengendalikan kes berkaitan buli.

Katanya, dengan penubuhan tribunal itu, ia tidak mengganggu sistem institusi lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Kementerian Pertahanan dalam mengendalikan masalah disiplin khususnya yang berhubung kait dengan kes buli.

“Kita cuba menerangkan tribunal ini ialah badan separa kehakiman (quasi judicial). Kita mahu sistem dalam sesebuah institusi itu dijalankan oleh mereka sendiri.

“KPM mempunyai (sistem) mereka sendiri, MARA dan juga Kementerian Pertahanan juga memilikinya. Jadi setiap institusi ini, mereka mempunyai kaedah bagaimana mereka mengendalikan (kes berkaitan) buli dan disiplin.

“Jadi, undang-undang (dalam tribunal) ini tidak mengganggu kewujudan sistem sedia ada, itulah titik permulaannya. Jika terdapat aduan atau siasatan, maka mungkin akan ada keputusan pada peringkat sistem.

“Sebagai contoh, KPM mungkin mempunyai keputusan atau ketetapan mereka sendiri. Maka, tribunal akan berperanan pada peringkat kedua, misalnya bagi kes rayuan atau ketidakpuasan hati terhadap keputusan itu,” katanya.-BH Online