KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip sebanyak RM640 juta hasil bayaran saman trafik melalui pelbagai program diskaun yang dilaksanakan sejak 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah itu merangkumi kutipan daripada lebih 2.7 juta saman yang diselesaikan dari 2022 hingga sembilan bulan tahun ini melalui pelbagai tawaran diskaun antara 30 hingga 60 peratus.
Beliau berkata, pada 2022, program pengurangan saman sebanyak 50 peratus menarik 327,369 pembayar saman, manakala pada 2024, sebanyak 678,000 saman berjaya diselesaikan dengan kutipan berjumlah RM119 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, PDRM menawarkan diskaun 30 hingga 50 peratus dan berjaya mendapatkan penyelesaian 1.73 juta saman dengan kutipan RM249 juta.
“Secara keseluruhannya, jumlah kutipan bagi 2022 hingga 2025 adalah RM640 juta, bagaimanapun masih ada lebih kurang RM6.6 bilion tunggakan saman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung penyelarasan kadar kompaun antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM, di Pusat Media Parlimen, hari ini.null
Saifuddin Nasution menjelaskan, walaupun program diskaun itu berjaya menggalakkan penyelesaian saman tertunggak, kerajaan mendapati pendekatan berkenaan turut menggalakkan sikap bertangguh atau hanya menunggu tawaran kompaun.
“Apabila diskaun ditawarkan dari semasa ke semasa, ramai yang memilih untuk menunggu tawaran baharu sebelum menjelaskan saman.
“Ini tidak adil kepada mereka yang bertanggungjawab dan bayar awal,” katanya.
Justeru, katanya kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu iaitu individu yang membayar awal menikmati potongan yang lebih tinggi berbanding mereka yang membayar lambat.
“Berbeza dengan mereka yang membayar lambat, mereka bukan saja perlu membayar penuh tetapi juga mungkin menghadapi tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau menjelaskan terdapat dua punca kuasa kepada pegawai polis trafik dalam mengeluarkan saman iaitu melalui Seksyen 120(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkenaan kompaun kesalahan trafik.
“Punca kuasa kedua pula ialah Seksyen 235(2)(B) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang turut memberi kuasa untuk mengkompaun mana-mana kesalahan mengikut akta berkenaan,” katanya.-BH Online