PUTRAJAYA. 22 Oktober – Usaha menjadikan Malaysia sebuah negara hebat perlu bermula dengan amalan tadbir urus baik, integriti dan penolakan rasuah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri menegaskan perkara itu selaras dengan kerangka Malaysia MADANI yang meletakkan tatakelola sebagai teras utama pembangunan negara.
“Untuk menjamin masa depan anak-anak kita dan menjamin hebatnya negara Malaysia tercinta ini mesti bermula dengan governans dan intergriti dengan penolakan rasuah.
“Kerana sistem dikalangan elit ini tidak senang jika isu rasuah dibahas. Wacana di parlimen, paling kurang suaranya. Kalau ada soal rasuah, dituju kepada satu, dua kes politik tapi tidak ada sambutan.
“Manusia yang berintegriti sudah tentu seorang yang tidak mengambil rasuah. Tadbir urus yang baik sangat penting dan bermaksud mengamalkan nilai-nilai yang baik selaras aspirasi kemanusiaan yang sewajarnya.
“Jadi kalau konteks itu, saudara faham selain kehebatan, kejayaan kita..dalam kerangka MADANI saya sangat tekankan tatakelola,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 di sini..
Beliau berkata aspek tadbir urus dan tatakelola perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan pentadbiran kekal adil dan berintegriti.
Jelasnya, tanpa pendekatan menyeluruh, akan wujud pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan politik sebagai alat untuk kepentingan peribadi.
MAPIN 2025 julung kali diadakan sebagai pembuka tirai kepada Sambutan Bulan Integriti Nasional yang disambut secara tahunan pada setiap bulan November.
Pada majlis berkenaan, Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 turut disampaikan kepada 20 organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan integriti dan tadbir urus terbaik.
Anugerah ini meliputi 4 Anugerah Emas, 3 Anugerah Perak, dan 3 Anugerah Gangsa bagi kedua-dua sektor awam dan swasta.
Majlis pada hari ini turut menyaksikan Datuk Seri Anwar menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada dua organisasi terdiri dari sektor swasta dan sektor awam yang telah menjadikan inisiatif pembudayaan integriti, governans dan antirasuah agenda utama dalam pengoperasian organisasi. -Berita RTM