Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Aspek kepentingan perdagangan Malaysia dan usaha keamanan global termasuk isu Gaza, antara topik akan dibincangkan secara tertutup dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri berkata hal demikian akan disampaikan beliau ketika menemui Presiden AS itu yang dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, bermula hujung minggu ini.

“(Sebelum ini) kami mengadakan perbincangan, panggilan telefon dua kali. Dia sangat mesra, sangat menyokong dan mendengar dengan baik. Saya ingin menggunakan peluang ini (kehadiran Trump) sudah tentu, untuk melindungi kepentingan Malaysia dalam pelaburan perdagangan, juga untuk menyatakan beberapa pandangan peribadi tentang apa yang saya fikir baik untuk Malaysia, untuk AS, untuk dunia.

“Ini termasuk isu yang melibatkan Palestin. Kita mesti menerima hakikat Trump sudah melakukan tindakan besar dalam menghentikan pengeboman haram (oleh Israel) di Gaza.

“Tetapi cabaran kita sudah tentu, adalah untuk memastikan keamanan berlaku, keadilan ditegakkan, dan akhirnya, kepentingan serta aspirasi dan hak diberikan kepada Palestin,” katanya pada sesi soal jawab ketika Forum Ilmu PNB 2025 di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, peranan Malaysia dalam ASEAN dipandu oleh prinsip pemusatan, bagi memastikan ia kekal sebagai rantau yang aktif dan boleh dipercayai untuk dialog dan kerjasama global.

Katanya, Malaysia mengekalkan hubungan rapat dengan kuasa besar, termasuk China dan AS, sambil mengembangkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan wilayah baru muncul seperti Amerika Latin dan Afrika.

“Dasar utama yang kami pegang ialah prinsip berpusat. Sebagai sebuah negara perdagangan, kami berkembang bukan sahaja dengan Eropah, Asia dan Amerika, tetapi juga dengan Amerika Latin dan Afrika Selatan.

“Buat pertama kali dalam rangka kerja rakan dialog ASEAN, kami menerima penyertaan daripada (Presiden) Luiz Inacio Lula da Silva dari Brazil dan (Presiden) Cyril Ramaphosa dari Afrika Selatan untuk bersama kami,” katanya. 

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula hujung minggu ini dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini dengan kehadiran kuasa besar yang berpengaruh.

Persidangan kali ini juga dijangka menjadi penganjuran terbesar sejak edisi pertamanya pada 1976.-BH Online