KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan diperkasa dalam usaha mempermudah prosedur mendapatkan pensijilan halal di negara ini.
Saranan Timbalan Perdana Menteri itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas usahawan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berhubung prosedur mendapatkan pensijilan berkenaan.
“Kita mahu memperkuat aspek pensijilan halal kerana ramai usahawan memaklumkan agak sukar untuk mendapatkannya.
“Kebetulan saya juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal negara dan kita akan bawa perkara ini ke mesyuarat.
“Ini bagi memastikan usaha dilaksanakan agensi atau kementerian berbeza mempunyai matlamat sama iaitu mempermudah, bukan menyusahkan ke arah mendapatkan pensijilan halal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
null
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan serta PMKS Kebangsaan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyerahkan watikah pelantikan Wan Rosdy sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan negara, selepas dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid berkata, pelantikan Wan Rosdy bertujuan menjadi pengantara bagi majlis berkenaan dengan EXCO keusahawan di peringkat kerajaan negeri.
“Pelantikan Wan Rosdy adalah selaras tugas Ewon yang memiliki lebih 10 agensi untuk melakukan penyelarasan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi juga kerajaan negeri.
“Beliau bertanggungjawab memperkasa pembangunan dalam bidang keusahawanan kerana 71 peratus daripada 1.089 juta rakyat terbabit dalam bidang keusahawanan mikro.
“Mereka perlu dinaik taraf menjadi usahawan kecil supaya pengeluaran dan perkhidmatan mereka mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai eksport.
“Sektor ini menyumbang RM636 bilion dari segi jumlah eksport dan tidak mustahil untuk kita pertingkatkan jumlah ini,” katanya.
Ahmad Zahid optimis untuk menaik taraf pendapatan hampir 731,000 usahawan PMKS yang terbabit dalam bidang guna tenaga melalui kursus keusahawanan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita mahu jadikan TVET sebagai batu loncatan bidang keusahawanan supaya tidak hanya tertumpu kepada kemahiran dan meraih gaji, tetapi turut menekankan untuk menjadi usahawan,” katanya.-BH Online