Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Usahawan bumiputera terutama wanita disaran meneroka pasaran antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negara pada peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan program Gate to Global yang memberikan peluang kepada golongan itu memasarkan produk di luar negara menggunakan jenama tunggal yang diiktiraf di bawah agensi itu.

Potensi pasaran halal dunia dianggarkan mencecah USD5 trilion menjelang tahun 2030.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan golongan wanita terbukti memiliki kecekapan dan amanah yang tinggi dalam menguruskan perniagaan.

“Amanah Ikhtiar Malaysia merekodkan dari segi pembayaran hutang, golongan wanita membayar balik kadar pinjaman hampir sempurna antara 0.25 hingga 0.5 peratus sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di sini.

Dalam pada itu, sebanyak RM52 bilion diperuntuk bagi memperkasakan sektor keusahawanan pada tahun depan.

“Ini melibatkan penyertaan 17 kementerian, termasuk MARA yang akan menerima RM4 bilion dalam Belanjawan 2026,” katanya.

Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI peringkat negeri Sabah menjadi bukti komitmen kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing di peringkat global.

Kerajaan yakin dengan semangat dan daya tahan tinggi golongan wanita, sasaran melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dicapai menjelang tahun 2030.-Berita RTM