Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.

Menurut beliau perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi menerusi perbualan telefon antara mereka petang tadi yang turut menyentuh perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza.

Beliau berkata, Presiden El-Sisi memaklumkan tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza agar rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.

“Presiden El-Sisi turut menjelaskan pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut melibatkan pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tambah beliau, Presiden El-Sisi turut menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil positif memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza.

“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun dan India.-Berita RTM