Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi menyaksikan ASEAN Friendship Concert 2025 yang berlangsung Auditorium Seri Angkasa, malam ini.

Beliau tiba sekitar pukul 8:05 malam, diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Turut hadir memeriahkan konsert para ketua perwakilan asing di Malaysia termasuk dari negara-negara ASEAN.

Konsert anjuran Kementerian Komunikasi melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Kementerian Luar itu diadakan bersempena Kepengerusian Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang akan berlangsung hujung bulan ini di ibu negara.

Mengangkat tema “Melodies of Unity, Rhythms of Friendship”, konsert ini menjadi simbol keakraban dan semangat perpaduan serantau.

Konsert berdurasi 90 minit ini menampilkan persembahan daripada barisan artis-artis ternama mewakili kesemua 10 negara ASEAN serta Timor-Leste, dengan iringan
Orkestra RTM (ORTM) yang terdiri daripada 44 pemuzik profesional.

Penganjuran konsert ini bukan sahaja meraikan seni dan budaya, tetapi juga mengukuhkan hubungan diplomatik dan semangat komuniti ASEAN ke arah masa depan yang lebih inklusif dan harmoni.

Pelbagai segmen menarik turut ditampilkan termasuk tayangan klip pengenalan negara, tarian tradisional dan persembahan nyanyian video tema khas.

Antara barisan artis yang membuat persembahan termasuklah Aina Abdul, Hael Husaini dan Aisha Retno (Malaysia), Dila Junaidi (Brunei), Pach Kimmouy (Kemboja), Peter Holly (Indonesia), Thinlamphone (Laos), Adriane Roy Calangian (Filipina), Hady Mirza (Singapura), Valentina Ploy (Thailand), Võ Hoài Anh (Vietnam), dan Cidalia (Timor-Leste).

ASEAN Friendship Concert 2025 dihoskan oleh dua pengacara Shahrizan Borhan (Malaysia) dan Dian Querrer (Filipina), serta disiarkan secara langsung menerusi
saluran TV2, RTM sebagai tayangan istimewa untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ia turut disiarkan di seluruh rantau ASEAN melalui siaran rasmi RTM dan platform rakan strategik termasuk Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).

Selain nyanyian, konsert itu turut menampilkan persembahan tarian tradisional dan tarian tema khas ASEAN Friendship Concert 2025, yang menonjolkan keindahan warisan budaya Asia Tenggara serta semangat keterangkuman antara negara anggota.-Berita RTM