Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI komited menyelesaikan isu teknikal MyKad bagi menebus bantuan subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) susulan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum mengenai aduan penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan subsidi bersasar SARA oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya memberi jaminan SARA adalah hak rakyat dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti. 

“Sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan SARA akan dipulangkan semula kepada penerima yang terbabit selepas disahkan melalui siasatan.

“Dalam hal ini, laporan polis perlu dibuat oleh pemegang MyKad dan Kementerian Kewangan (MOF) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca serta memastikan hak penerima dikembalikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KDN melalui JPN dan MOF kini sedang bekerjasama rapat untuk menyelesaikan isu teknikal 

berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad supaya pusingan seterusnya penyaluran subsidi bersasar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah. 

“Antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk pemadanan data MyKad yang dikemas kini secara berkala, semakan versi kad bagi mengelakkan salah guna penebusan, serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital KDN.

“Kerajaan Madani komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dilaksana secara telus, selamat dan adil,” katanya.

Katanya, KDN bersama MOF terus menambah baik sistem pengesahan identiti dan keselamatan data supaya setiap sen bantuan dikembalikan kepada rakyat yang layak tanpa gangguan, tanpa penyelewengan dan tanpa kehilangan hak.-BH Online