Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyifatkan langkah kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan semua kes mahkamah membabitkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun, bertepatan dengan hasrat pihaknya dalam mengutamakan kebajikan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk memastikan setiap proses mahkamah dipercepatkan selaras SOP yang akan dilancarkan itu.

“Sudah tentu kami menyokong pembaharuan itu kerana ia antara hasrat kami dalam memastikan kebajikan kanak-kanak diberi keutamaan.

“Sebagai kementerian yang menjaga kebajikan kanak-kanak, kami juga bergantung kepada kementerian lain yang bertanggungjawab untuk menetapkan prosedur yang juga akan membantu kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kasih Keluarga dan Kick Off Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan di Kampung Santubong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai SOP itu yang akan dilancarkan 24 Oktober ini.

Azalina berkata, SOP berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem keadilan kanak-kanak di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu juga antara lain bagi mengatasi kelewatan prosiding mahkamah yang menyebabkan kanak-kanak enggan tampil semula sebagai saksi apabila dewasa.

Sementara itu, mengenai saranan bagi mengembalikan hukuman rotan bagi meningkatkan disiplin pelajar, Nancy berkata, respons daripada rakyat perlu diambil kira.

Beliau berkata, peraturan itu mungkin dilihat baik oleh orang ramai tetapi mungkin juga boleh mendatangkan kesan sebaliknya kepada pelajar seperti menyebabkan mereka takut ke sekolah.

“Sehubungan itu, KPWKM melihat kepada usaha untuk meningkatkan nilai kekeluargaan sebagai pendekatan bagi meningkatkan disiplin pelajar,” katanya.-BH Online