Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya projek pembinaan Kota MADANI disiapkan segera bagi merealisasikan matlamat membangunkan sebuah bandar yang bukan sahaja moden dan berteknologi tinggi, tetapi turut berteraskan nilai kemanusiaan.
Datuk Seri Anwar berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada Putrajaya Holdings dan Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi kerjasama penuh dalam mempercepatkan proses kelulusan projek berkenaan, yang disifatkannya sebagai langkah memperkukuh identiti Putrajaya sebagai bandar masa depan negara.
“Mudah-mudahan kita dapat lihat dalam masa singkat, yang saya tidak boleh tolak ansur ialah kalau (pembinaan) lambat, jadi kita (mahu pembinaan yang) cepat.
“Sejak PPj dan semua jentera kerajaan memberikan kerjasama penuh, kini tunggu Putrajaya Holdings untuk beri ‘full speed ahead’,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Putrajaya Holdings di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, konsep Kota MADANI harus diterjemahkan melalui pembangunan yang menyeimbangkan aspek fizikal, digital dan teknologi bersama penekanan terhadap nilai manusiawi yang menjiwai kehidupan bandar.
Beliau berkata, kemajuan sesebuah kota tidak boleh diukur hanya melalui kewujudan pencakar langit atau infrastruktur moden semata-mata, sebaliknya mesti mencerminkan keindahan, kebersihan, keprihatinan terhadap alam sekitar serta nilai budaya masyarakat.
Katanya, pembangunan bandar yang seimbang harus menitikberatkan aspek kemanusiaan dan nilai karamah insaniah sebagai teras kepada konsep Kota MADANI yang diperkenalkan kerajaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi kisah awal penubuhan Putrajaya yang menimbulkan kegelisahan kepada ramai penjawat awam yang enggan berpindah dari Kuala Lumpur ke pusat pentadbiran baharu tersebut.
“Pada awalnya ramai rasa tidak selesa untuk meninggalkan Kuala Lumpur, tetapi apabila melihat kemudahan sekolah, masjid, hospital dan prasarana lain, mereka mula tertarik untuk berpindah.
“Setiap kali saya menerima kunjungan Perdana Menteri, Presiden atau Raja dari luar negara, mereka sering melahirkan rasa kagum terhadap keindahan dan perancangan Putrajaya,” katanya.-Berita RTM