Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikrar akan memperkukuh dan menambah baik aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), susulan kejadian tragis yang menimpa seorang lagi pelajar baru-baru ini.

Fadhlina berkata, beliau bersama timbalannya, Wong Kah Woh, mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan reformasi keselamatan dan kesejahteraan sekolah dilaksanakan dengan lebih menyeluruh serta berkesan.

Fadhlina turut menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi berkenaan dan mengakui luluh hati melihat para guru dalam kesedihan.

“Tuhan sahaja yang tahu. Ya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Duka menerima satu lagi berita kematian anak murid yang dikasihi. Hati saya luluh melihat para guru dalam keadaan lara dan gundah menangisi tragedi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau dalam masa sama menyeru warga pendidik agar terus kuat dan tabah menghadapi ujian tersebut sambil menegaskan komitmen kementerian memperkukuh keselamatan sekolah akan dilaksanakan secara bersama.

“Bertabahlah para guru sekalian! Ujian ini akan kita lalui bersama. Ketika jiwa kita runtuh berderai, kita harus kutip segera kepingan yang ada untuk dicantumkan menjadi sakti kembali.

“We will do better. Reformasi keselamatan dan kesejahteraan sekolah selamat ini kita lakukan bersama-sama,” katanya.

Fadhlina turut merakam penghargaan kepada para guru, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan dan kerjasama mereka dalam memastikan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara.

Pada 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah di Selangor.

Suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.-Berita RTM