KUALA LUMPUR: Perayaan Deepavali tahun ini akan menjadi simbol kepada kekuatan, perpaduan dan kemajuan komuniti India, seiring dengan aspirasi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata semangat Deepavali yang bererti kemenangan cahaya ke atas kegelapan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan memperkukuh perpaduan, memperkasakan ekonomi dan memantapkan solidariti komuniti India.
Katanya, Deepavali bukan hanya simbol keagamaan, tetapi juga lambang kekuatan, kasih sayang dan perpaduan.
“Dalam semangat Malaysia MADANI, saya menggesa komuniti India untuk terus bersatu dan memainkan peranan aktif dalam membina masa depan yang lebih makmur dan inklusif seiring dengan proses pembangunan negara.
“Diharap perayaan Deepavali tahun ini akan menerangi dan memberikan “Puthiya Nambikai ” (Harapan Baru) kepada semua kaum di Malaysia khususnya komuniti India.
“Marilah kita bersama dan bersatu menjayakan segala misi untuk memperkasakan ekonomi komuniti India. Kerajaan Madani sentiasa komited untuk menjamin harapan komuniti India,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, kementeriannya akan sentiasa komited untuk memastikan lebih ramai usahawan dan koperasi India dapat menikmati peluang pembangunan ekonomi secara saksama melalui pelbagai inisiatif kementerian.
“Antaranya termasuk RM100 Juta untuk Program SPUMI dan SPUMI Goes Big dibawah TEKUN Nasional, RM100 juta dibawah Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India (PENN) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, RM100 Juta Program BRIEF-i dibawah Bank Rakyat, Geran Padanan I-BAP RM6 Juta dibawah SME Corp, Program Vanigham RM50 Juta dibawah SME Bank.
“Program SOORIAN dibawah PERNAS pula menyediakan peruntukan khas RM54.5 Juta pertama kali dalam sejarah penubuhan agensi PERNAS serta program latihan keusahawanan ‘Vanakam MADANI’ yang dijalankan bersama agensi seperti AIM, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan INSKEN,” katanya.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, keseluruhan inisiatif yang diumumkan dan sedang dilaksanakan melalui agensi-agensi dibawah KUSKOP setakat ini membabitkan peruntukan lebih RM500 juta.
“Ia adalah khas untuk komuniti India dan tidak termasuk inisiatif lain dibawah kementerian serta agensi kerajaan seperti KPM, KPKT, MITRA dan lain-lain yang turut menyediakan program khas untuk manfaat masyarakat India.
“Di bawah kementerian ini, kami mahu melihat lebih ramai usahawan India berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa. Inilah makna sebenar cahaya Deepavali, membimbing, menyinari dan membuka jalan kepada kejayaan bersama,” katanya.-BH Online