Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bantuan yang disalurkan kerajaan adalah berdasarkan keperluan rakyat, serta memastikan keadilan sosial dapat dicapai secara menyeluruh, tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas dakwaan kerajaan meminggirkan kaum lain khususnya masyarakat India dan memberi keutamaan kepada kaum tertentu.

Tambah beliau, dakwaan itu tidak benar dan bertentangan dengan dasar sebenar kerajaan.

“Saya bagi contoh, peruntukan skim jaminan kredit perumahan. Salah satu masalah besar kita adalah rumah. Sewa mahal, beli tidak mampu. Maka kerajaan sediakan pinjaman rumahan. Berapa untuk masyarakat India? Tahun ini, 2025, dan unjuran bajet 2026 untuk skim jaminan perumahan, kredit perumahan masyarakat India itu 1.6 bilion ringgit,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani Peringkat Kebangsaan 2025 di KL Sentral.

Beliau berkata selain perumahan, kerajaan turut menyediakan skim pembiayaan perniagaan yang memberi peluang kepada usahawan India mengembangkan perniagaan.

“SKPP skim jaminan pembiayaan perniagaan untuk India berniaga RM600 juta tapi untuk tahun ini kita teruskan dengan RM600 juta untuk skim jaminan pembiayaan masyarakat India untuk peluang anak-anak muda berniaga.”

Datuk Seri Anwar turut memberitahu bahawa masyarakat India juga menerima manfaat besar daripada program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Tegasnya lagi, bantuan itu tidak harus dipolitikkan atau disalah tafsir.

Dasar kerajaan Madani adalah memastikan semua kaum mendapat manfaat pembangunan secara adil dan inklusif demi memastikan perpaduan negara terus kukuh.

“Jangan kata kerja kita tak buat kerana apa yang kita lakukan itu jauh lebih besar dari yang pernah dibuat.” katanya.-Berita RTM