Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 9.6 juta pekerja di seluruh negara bakal menikmati manfaat menerusi Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata skim berkenaan diperkenalkan bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada kemalangan di luar waktu bekerja, termasuk semasa menjalani aktiviti harian dan perjalanan peribadi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa saya akan membentangkan pindaan undang-undang untuk memberikan perlindungan PERKESO selama 24 jam kepada pekerja di Malaysia.

“Bukan sahaja semasa bekerja, tetapi juga ketika pergi dan balik kerja, keluar bersama keluarga, bercuti atau beriadah. Jika berlaku kemalangan atau bencana, kami akan lindungi sepenuhnya iaitu 24 jam sehari, 365 hari setahun. Ini merupakan satu perubahan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Deepavali Kesuma Perkeso Lindung 2025 di sini hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk terus memperjuangkan maruah pekerja dengan memastikan mereka memperoleh peluang pekerjaan yang berkualiti serta perlindungan sosial menyeluruh.

Pada majlis sama, sebanyak RM108,500 disumbangkan kepada 13 penerima faedah PERKESO di bawah pelbagai skim LINDUNG.

Selain itu, seramai 112 penerima sumbangan terdiri daripada balu, duda dan anak yatim dari Pulau Pinang turut diraikan.

Manakala sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing menerima sumbangan RM10,000 di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PERKESO.-Berita RTM