KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Masyarakat India bakal menikmati pelbagai inisiatif baharu bernilai lebih RM42.25 juta bagi memperkukuh pembangunan pendidikan dan kebajikan komuniti itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, inisiatif tersebut meliputi program tuisyen percuma, pemberian komputer riba melalui inisiatif Peranti Siswa, serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan masyarakat India turut merasai limpahan kemajuan negara secara adil dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam Perdana Menteri Anwar meluangkan masa meninjau persiapan masyarakat Hindu menjelang sambutan Deepavali di Little India, Brickfields.
Beliau turut menikmati minum petang bersama pengamal media Tamil dan pempengaruh media sosial sambil bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa serta meninjau gerai jualan di bazar Little India.
“Semoga sambutan Deepavali tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan semangat perpaduan,” katanya.-Berita RTM