Keperluan mewujudkan grid kuasa ASEAN yang baik selaras dengan usaha memperkukuh integrasi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting untuk meningkatkan keselamatan tenaga, menarik pelaburan berkualiti serta mempercepat peralihan rantau ke arah tenaga mampan, sekali gus meletakkan ASEAN sebagai hab industri dan teknologi tenaga bersih.
Justeru, beliau menggesa semua pihak meningkatkan kerjasama dan tindakan bersama dalam memperkukuh Grid Kuasa ASEAN (APG) yang menjadi tonggak utama agenda tenaga serantau.
“APG merupakan tulang belakang kepada kerjasama serantau yang menghubungkan aspek kemampanan, keselamatan dan keterjangkauan tenaga secara menyeluruh. Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap agenda bersama ini.”
“Dengan kesepaduan dan iltizam politik yang kukuh, kita mampu mengimbangi cabaran tenaga dan memacu pertumbuhan ASEAN untuk dekad-dekad akan datang. Kita semua maklum bahawa sesuatu cita-cita mesti disokong dengan sumber yang mencukupi. Grid Kuasa ASEAN memerlukan pelaburan berterusan serta pendekatan pembiayaan yang inovatif.”
“Justeru, kita harus menghargai usaha dan keupayaan anda semua dalam menarik minat institusi utama serta penyertaan sektor swasta bagi memastikan kejayaan pembiayaan grid kuasa ini,” kata Datuk Seri Anwar, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-43, mesyuarat-mesyuarat berkaitan, serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Tambah beliau, inisiatif APG yang telah dirancang lebih dua dekad lalu kini menunjukkan kemajuan ketara hasil tindakan lebih menyeluruh negara-negara anggota ASEAN, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang besar kepada ASEAN dalam memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, malah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Selain itu, memastikan bekalan tenaga dan elektrik yang boleh dipercayai serta berpatutan merentasi sempadan negara.-Berita RTM