ASEAN mencatatkan lapan kejayaan dan inisiatif utama dalam kerjasama tenaga serantau menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 yang dipengerusikan oleh Malaysia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara pencapaian utama yang direkodkan ialah kelulusan Memorandum Persefahaman (MoU) dipertingkatkan mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG) serta Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen ASEAN terhadap agenda peralihan tenaga hijau dan mampan bagi memastikan pembangunan inklusif serta seimbang di seluruh rantau.
“Antaranya ialah kelulusan Perjanjian Pengganti Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) pelancaran Kewangan APG yang disokong oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia dengan jumlah komitmen melebihi AS$12 bilion, serta kelulusan Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) dan Rangka Kerja Pembangunan Loji Janakuasa Nuklear ASEAN”, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian AMEM 2025 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas beliau, ASEAN juga memuktamadkan Terma Rujukan Kabel Kuasa Dasar Laut dan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Diperbaharui, melancarkan Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan, serta menubuhkan Sekolah Peraturan ASEAN (ASR) yang akan diterajui oleh Malaysia.
Tambah beliau, semua pencapaian itu menunjukkan kemajuan besar ASEAN dalam memperkukuh aspek keselamatan tenaga, pembiayaan, serta pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Katanya lagi, ASEAN akan terus memperkukuh kerjasama tenaga serantau dengan menyelaras pelaksanaan projek tenaga, menyepadukan piawaian teknikal, serta menterjemah pelan strategik kepada hasil nyata, seiring matlamat menjadikan rantau ini peneraju tenaga bersih dunia.
“ASEAN kini menikmati peningkatan dua kali ganda tenaga boleh baharu dan penjimatan tenaga lebih 25 peratus sejak tahun 2005, hasil kesepakatan serta keazaman semua negara anggota,” katanya.-Berita RTM