Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan kesemua 18 atlet negara yang akan menggalas cabaran di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi tujuan itu, atlet terbabit akan menduduki peperiksaan secara khas di Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik pulang ke tanah air.

Penyelarasan tersebut hasil kerjasama antara KBS, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MSN bagi mengatasi pertindihan jadual peperiksaan dengan temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata inisiatif itu memberi ruang kepada atlet menunaikan tanggungjawab akademik tanpa menjejaskan komitmen terhadap negara.

“Setakat ini kita ada 17 calon untuk sekolah kerajaan dan satu calon persendirian, Majlis Sukan Negara (MSN) telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk selesaikan jadual, di mana mereka akan bertanding dahulu 17 calon ini kemudian mereka akan hadir ke MSN dan KPM akan jalankan ujian SPM untuk 17 calon ini di MSN, jadi itu telah dipersetujui oleh KPM,” katanya pada sidang media pelancaran pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI yang diwakili Muhammad Hakim Danish Ramli, di sini hari ini.

Peperiksaan SPM 2025 dijadualkan berlangsung dari 3 November hingga 23 Disember, manakala Sukan SEA Thailand akan diadakan dari 9 hingga 20 Disember.

KPM turut bersetuju menyediakan kertas peperiksaan khas bagi 17 calon dari sekolah kerajaan, manakala seorang calon persendirian perlu mengemukakan permohonan terus kepada Lembaga Peperiksaan.

Langkah itu menggambarkan komitmen kerajaan dalam menyokong keseimbangan antara pencapaian akademik dan tanggungjawab atlet negara di peringkat antarabangsa.-Berita RTM