KUALA LUMPUR: Bermula esok, rakyat Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Singapura (LMS) boleh mengemukakan permohonan subsidi bersasar di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan laman web khas, www.BUDI95lesenSG.jpj.gov bagi membolehkan individu yang bekerja di Singapura mendaftarkan permohonan subsidi berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pihaknya prihatin terhadap maklum balas warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura mengenai pelaksanaan BUDI95, terutama dalam sektor perkhidmatan, seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.
Berdasarkan peraturan pelesenan pemandu Malaysia dan Singapura, seseorang pemandu hanya dibenarkan untuk memiliki satu lesen memandu saja, sama ada dari Malaysia atau Singapura.
“Warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura, terutama dalam sektor membabitkan tugas pemanduan, terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk mendapatkan LMS, walaupun mereka berstatus warganegara Malaysia, menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan motor berdaftar di Malaysia yang digunakan dalam negara ini.
“Justeru, bagi membantu Kementerian Kewangan menilai dan mempertimbang permohonan daripada kumpulan ini, kementerian melalui JPJ menyediakan laman web khas ini.null
“Perkara yang akan dipertimbang bagi permohonan ini adalah pemohon ialah warganegara Malaysia, LMS yang masih sah tempoh dan status permit pekerjaan di Singapura,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Loke memaklumkan, bagi warganegara Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada keperluan peraturan domestik Singapura untuk memegang LMS, mereka boleh memohon semula LMM dengan terlebih dahulu membatalkan LMS melalui prosedur sedia ada di Singapura.
Katanya, permohonan mendapatkan semula LMM boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ berdekatan selepas disahkan tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan terhadap LMS itu oleh pihak berkuasa Singapura.
“Pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui laman web rasmi BUDI95 di www.budi95.gov.my selepas 14 hari daripada tarikh penghantaran permohonan.
“Pertimbangan akhir ke atas setiap permohonan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, berdasarkan semua syarat yang ditetapkan di bawah program subsidi BUDI95.
“Kementerian berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura supaya turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan program subsidi bahan api negara,” katanya.
Pada masa sama, Loke, berkata peraturan yang menetapkan BUDI95 hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia masih dikekalkan.-BH Online