PETALING JAYA: Pengusaha, pemain industri dan pemilik syarikat besar di negara ini disarankan membuka ruang pekerjaan khusus kepada bakal veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, ini adalah satu tanggungjawab moral sebagai menghargai jasa setiap veteran ATM yang mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air yang dinikmati hari ini.
Katanya, dalam masa yang sama, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) mesti mewujudkan ekosistem bersepadu yang menghubungkan veteran secara langsung dengan industri dan pasaran kerja.
“Ada anggota yang mahir dalam bidang mekanik yang boleh diserap dalam syarikat automotif, ada yang pandai memasak dan boleh diserapkan di restoran, hotel atau premis kafe manakala mereka berpengalaman memandu boleh menjadi pemandu peribadi yang profesional.
“Melalui ‘Work-Bases Leaning’ kemahiran anggota yang diasah sepanjang perkhidmatan dalam ATM, akan kita iktiraf secara rasmi dengan kelayakan sekurang-kurangnya di peringkat diploma.
“Dalam hal ini, peranan pemain industri adalah menyediakan peluang tempat dan memberikan latihan bersesuaian bagi meningkatkan kemahiran sedia ada oleh bakal pesara untuk memenuhi keperluan industri atau sesebuah syarikat besar,” katanya dalam sidang media pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pelan transformasi itu sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI serta responsif terhadap hala tuju pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia ke-13 dan Dasar TVET Negara 2030.
Katanya, beliau menyeru mana-mana pemain industri dan syarikat besar mengambil peluang untuk menilai keupayaan pesara ATM di tempat kerja.
“Saya juga berharap mereka (pesara ATM) dapat diserap masuk untuk bekerja kerana selain kemahiran mereka saya percaya anggota ATM juga memiliki disiplin, semangat dan tekad yang tinggi untuk menjadi tenaga kerja yang berkualiti dan boleh diharapkan,” katanya.
Berdasarkan data semasa PERHEBAT, hanya sekitar 33,000 daripada lebih 189,000 veteran ATM yang bekerja meskipun menerima pencen.
Selebihnya memilih untuk menjadi usahawan kecil atau tidak bekerja langsung selain ada yang dikategorikan hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.-BH Online