Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara akan menggunakan kamera badan (BWC) bermula bulan depan yang merakam setiap tindakan diambil dan respon pengguna dalam usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, sekali gus memperkukuh integriti serta ketelusan perkhidmatan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata sebanyak 100 unit BWC akan digunakan pegawai penguat kuasa JPJ membabitkan peruntukan RM2.3 juta.

Beliau berkata, penggunaan BWC dalam pasukan jabatan itu menandakan komitmen JPJ melaksanakan penguatkuasaan berasaskan bukti dan memastikan setiap tindakan di lapangan dapat dirakam, dinilai dan dipantau secara objektif.

Katanya, langkah itu juga menegaskan pendirian JPJ untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan tegas, profesional dan berintegriti tinggi, selaras aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan tadbir urus dan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan negara.

“JPJ yakin pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi budaya kerja penguatkuasaan, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan tindakan JPJ dan memperkukuhkan keberkesanan sistem tadbir urus serta akauntabiliti perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Loke berkata, dengan pelancaran operasi khas besar-besaran membanteras kenderaan perdagangan lebih muatan, hari ini yang tentunya mendedahkan anggota penguatkuasa terhadap tohmahan dan ugutan, mereka juga akan dilengkapi BWC walaupun penggunaannya pada anggota biasa bermula bulan depan.

“Walaupun sepatutnya jadual kita mulakan pemakaian BWC ini pada bulan depan untuk anggota biasa, tetapi anggota penguat kuasa yang ditugaskan dalam operasi khas ini, semuanya dilengkapkan kamera dan setiap pasukan juga dilengkapkan pistol untuk memastikan keselamatan mereka.

“Kita tahu berisiko (operasi khas dilaksanakan) akan membahayakan, tetapi kita tak ada pilihan. Kita perlu laksanakan operasi bersepadu dengan tegas dan berani, jadi anggota kita dilengkapi peralatan ini untuk melindungi mereka serta menjaga nama baik supaya tidak ditohmah.

“Semua tindakan penguatkuasaan akan dirakam, jadi saya ingatkan pemandu jangan bertindak agresif,” katanya.

Loke berkata, semua rakaman BWC akan diaktifkan sebaik saja anggota melapor tugas dan tidak boleh dimatikan sehingga tugasan selesai.

“Kalau anggota matikan kamera tanpa sebab mereka perlu lapor dan akan disiasat pegawai atasan,” katanya.-BH Online