Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda menjadi barisan utama dalam memerangi rasuah, penyeludupan serta penguasaan kartel yang membebankan negara.

Beliau berkata masa depan Malaysia bergantung kepada keberanian generasi baharu dalam tadbir urus yang bersih dan sistem pentadbiran yang adil.

“Kerajaan tidak akan membebankan rakyat dengan cukai baharu selagi kebocoran hasil negara akibat ketirisan dan sindiket tidak dihentikan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (i-Future) 2025 di ibu negara, hari ini.

Dalam ucapan itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan kerajaan berjaya memulihkan RM15.5 bilion hasil negara yang sebelum ini hilang akibat rasuah, penyeludupan dan kegiatan kartel dalam tempoh dua tahun.

“Anak muda mesti jadi suara paling lantang. Jangan biar rasuah, kartel atau penyeludupan terus merompak masa depan negara,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa keberanian membanteras rasuah membolehkan kerajaan mengembalikan hak rakyat tanpa perlu mengenakan cukai tambahan.

Beliau memberi contoh pemansuhan subsidi tersasar melibatkan kartel ayam yang menjimatkan RM1 bilion setahun, selain penstrukturan tarif elektrik dan penamatan subsidi petrol kepada warga asing yang menjimatkan hampir RM8 bilion.

Datuk Seri Anwar yakin generasi muda mampu mengubah landskap negara sekiranya menolak normalisasi korupsi dan berani mencabar struktur lama.

“Kamu mesti jadi generasi yang berani menegakkan integriti. Jika kita hentikan rasuah, wang negara boleh dikembalikan untuk pendidikan, kesihatan dan masa depan anak muda,” katanya.

Tambah beliau, kepimpinan masa hadapan perlu bebas daripada sebarang kompromi terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.- BH Online