Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,759 lampu jalan solar sudah dipasang di jalan Persekutuan di Semenanjung sehingga kini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, kawasan tumpuan pemasangan lampu berkenaan adalah lokasi jauh dari sistem grid elektrik selain sering berlaku kecurian kabel, vandalisme dan kerap kemalangan.

“Kementerian ini melalui Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.

“Bagi kawasan kerap atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan mempunyai rekod kemalangan dikenal pasti, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil dan memenuhi keperluan pencahayaan.

“Lampu jalan solar merupakan inisiatif hijau selaras dengan pembangunan lestari yang lebih mesra alam kerana penjanaan tenaga elektrik dari sumber yang boleh diperbaharui,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai perancangan Kementerian Kerja Raya bagi memperluaskan penggunaan lampu solar khususnya di kawasan luar bandar, jalan Persekutuan, kampung tradisi dan kawasan berisiko tinggi kemalangan bagi mengurangkan kos elektrik jangka panjang serta menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui negara.

Ahmad berkata, lampu jalan solar mula dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2019 melalui pelaksanaan projek rintis.

“Kementerian ini sentiasa menyokong inisiatif pemasangan lampu jalan solar ini.

“Teknologi lampu jalan solar yang berada di pasaran sedang menuju ke arah kematangan produk yang didorong oleh penglibatan pemain industri dan agensi kerajaan dengan mengambil kira keperluan rekabentuk, teknikal dan penyelenggaraan,” katanya.

Ahmad berkata keberkesanan pemasangan lampu jalan solar terutamanya di

kawasan lokasi atau berisiko kemalangan sentiasa dilaksanakan oleh kementeriannya dan JKR, selain mengenal pasti lokasi baharu yang memerlukan lampu jalan.-BH Online