KUALA SELANGOR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dicadangkan untuk dijadikan universiti keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, beliau mencadangkan perkara itu kepada UiTM kerana jumlah pelajarnya yang ramai dan menawarkan banyak kursus dalam pelbagai bidang.
“Maka saya ingin menyarankan kita mulakan UiTM ini sebagai universiti yang juga memfokuskan latihan keusahawanan di peringkat negara dan kemudian mungkin boleh dinaikkan di peringkat ASEAN dan peringkat global jika jumlah pelajarnya mencukupi.
“Tetapi penekanan mesti dilakukan untuk kewujudan usahawan yang lebih professional dan lebih ramai yang dipanggil sebagai tekno usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada program Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Junady Nawawi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Pengerusi Majlis TVET Negara berpandangan kursus di universiti dan teknikal TVET sesuai untuk persediaan graduan ke alam pekerjaan.
Dalam masa yang sama, katanya usaha mesti ditingkatkan bagi menghasilkan graduan yang boleh menjadi usahawan.
“Saya memberi penekanan mengenai perkara ini bukan hanya untuk kita menghasilkan pencari pekerjaan tetapi juga pencipta pekerjaan.
“Ertinya, usahawan boleh mencipta pekerjaan untuk mengambil mereka yang berada dalam bidang yang sama untuk bekerja,” katanya.-BH Online