Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sekolah sepatutnya tempat selamat terutama dalam mendepani pelbagai situasi terutama berkaitan keselamatan warganya susulan terdapat kes jenayah seksual membabitkan pelajar yang semakin membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata berikutan itu semua pihak digesa memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sekolah kekal menjadi ruang pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk anak-anak.

“Sepatutnya sekolah tempat yang selamat untuk kanak-kanak dan remaja berikutan ada pelbagai peringkat usia berada di situ termasuk ada anak kecil.

“Justeru, kalau sekolah itu tidak lagi menjadi tempat yang selamat, apa nak jadi kepada masyarakat

“Jadi semua pihak perlu bertanggungjawab membendung perkara yang boleh membahayakan keselamatan golongan dilindungi,” katanya selepas melancarkan Kempen ‘Awak Okey Tak? Jom Kongsi’ sempena Kasih Fun Run di Dataran DBKL, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas mengenai kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka pada minggu lalu, Nancy berkata, kaunselor serta pegawai pelindung sudah berjumpa mangsa. 

“Pegawai pelindung kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dihantar ke hospital semalam dan hari ini pegawai kaunseling akan melawat keluarga bagi memberi sokongan awal kepada mangsa dan keluarga serta menziarahi keluarga terbabit.

“Setakat ini, itu antara pertolongan awal kami kerana siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi ruang kepada keluarga mangsa dan pihak berkuasa menjalankan tugas, namun tetap bersiap sedia menyalurkan bantuan, terutama dari segi kaunseling dan sokongan emosi.

“Kita faham keluarga mangsa masih trauma kerana tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku. Jadi kita beri mereka masa untuk bertenang, dan kementerian sentiasa bersedia membantu jika diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPWKM mempunyai agensi untuk membuat program seperti keibubapaan dam advokasi.

“Namun, malangnya kebanyakan kumpulan sasaran untuk program ini jarang turut serta. 

“Sebab itu kita bekerjasama dengan polis juga supaya mereka akan menekankan kalau berlaku perkara (jenayah) seperti ini mereka tahu apa tang perlu dilakukan. 

“Pada masa sama, kita bimbang kerana generasi berkenaan yang akan memimpin negara,” katanya. 

Beliau turut menekankan aspek penapisan individu yang layak bekerja dengan kanak-kanak, terutama di taman asuhan (TASKA), bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara.

“Kita juga saring siapa yang boleh bekerja di TASKA supaya keselamatan anak-anak di bawah jagaan dijamin. Kadangkala, kita tak tahu apa yang berlaku di rumah atau di sekolah. Sebab itu semua pihak perlu bersama mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendidikan seks di sekolah perlu diperkasakan bagi memberi kefahaman awal tentang keselamatan diri dalam kalangan pelajar.

“Saya terus terang, pendidikan seks di negara kita belum mencukupi. Kita perlu perkasakan semula program sedia ada termasuk melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya.-BH Online