KOTA KINABALU, 12 Oktober – Persidangan Francais Halal 2025 mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh ekosistem francais halal negara.
Lebih 500 usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri dari seluruh negara menyertai persidangan itu semalam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran merupakan kesinambungan Program Pembangunan Halal Success KUSKOP–Pernas 2025.
Program berjaya memberi impak kepada hampir 1,000 usahawan.
Program berkenaan membuka ruang kepada usahawan memperkukuh daya saing melalui pematuhan pensijilan halal, pembangunan produk, inovasi teknologi dan peluasan pasaran antarabangsa.
Menurut Datuk Ewon, Sabah berpotensi menjadi pintu masuk utama francais halal tempatan ke pasaran ASEAN dan global hasil kedudukan strategik serta kekuatan sumber tempatan yang pelbagai.-Berita RTM