Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Kerajaan akan memberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus kepada syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa tahun depan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, bahawa syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa melibatkan peserta asing akan diberi pengecualian cukai pendapatan 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata inisiatif itu mampu menarik lebih banyak penganjuran acara sukan antarabangsa ke negara ini, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan dan industri sukan tempatan.

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi kerajaan memperkasakan insentif cukai kepada syarikat yang mahu menganjurkan pertandingan bukan sahaja dalam bidang kesenian dan pelancongan, tetapi juga sukan.

“Mereka akan diberi pengecualian cukai pendapatan 50 peratus, satu jumlah yang signifikan berbanding sebelum ini yang hanya 10 peratus untuk penajaan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Lazada Run, di sini, hari ini.

Hannah dalam masa sama menegaskan, setiap penganjur kejohanan sukan antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengelak sebarang isu yang boleh menjejaskan imej negara.

“Kita tak mahu ada pihak menganjurkan kejohanan antarabangsa tanpa kebenaran negara kerana jika tidak cukup syarat seperti insurans atau permit pihak berkuasa tempatan, ia boleh menjejaskan imej Malaysia.

“Jadi saya minta mana-mana syarikat atau persatuan sukan yang mahu menganjurkan kejohanan antarabangsa supaya mendapatkan kebenaran daripada KBS terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, Hannah turut memaklumkan pengecualian cukai 100 peratus akan diberikan kepada syarikat yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

“Syarikat yang mahu membantu pembangunan sukan secara umum boleh memberi sumbangan kepada Tabung KWASN dan akan menikmati pengecualian cukai pendapatan 100 peratus.

“Cuma sumbangan ini bukan dalam bentuk penajaan kepada satu sukan tertentu, sebaliknya untuk manfaat semua atlet dan program pembangunan sukan negara,” katanya.-BH Online