IPOH, 11 Oktober – Semangat perpaduan dalam kalangan pelajar serta murid di negara ini tidak terhakis, meskipun pelbagai kaum, agama dan budaya belajar bersama di bawah satu bumbung atau sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian masyarakat di Malaysia merupakan kekuatan yang perlu diraikan dan bukan dipersoalkan kerana ia menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian negara.
“Malaysia ini negara pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya, anak-anak tahu ini pelajar Melayu, pelajar Cina pelajar India, pelajar Orang Asli, tetapi boleh bergaul sebagai pasukan anak-anak Malaysia.
“… dan ini tidak sedikit pun mengikis semangat bangsa kita, agama kita cuma dari segi negara semangat itu penting”, katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia perlu terus memupuk semangat menghormati dan memuliakan kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat.
Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Poi Lam di Ipoh, Perak.
Pada majlis itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun menyerahkan sumbangan kepada wakil 15 sekolah melibatkan seramai 2,500 pelajar di kawasan tersebut.-Berita RTM