Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI PETANI, 11 Oktober – Peruntukan RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2026 memberi fokus kepada usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus menjayakan matlamat pasukan keselamatan dalam memelihara kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu, meningkat 2.92 peratus berbanding tahun ini, selari dengan usaha memastikan kesiapsiagaan ATM menghadapi pelbagai cabaran, sama ada tradisional atau bukan tradisional.

“Saya percaya bajet ini selari dengan dapatan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan yang menyatakan keperluan penambahbaikan aset-aset ATM. Aset-aset sekarang berasaskan teknologi baharu.

“Kita juga masih berhadapan pelbagai cabaran termasuklah di Laut Cina Selatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perluncuran Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025: Edisi Utara di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini.
 
Pada sidang media yang sama, beliau berkata peruntukan bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters kediaman ATM juga meningkat kepada RM800 juta berbanding RM600 juta tahun ini.-Berita RTM