Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Peruntukan RM6 bilion untuk Sarawak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam adalah bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh hubungan dengan kerajaan negeri ini serta memastikan pembangunan terus diperkasa.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata ia juga menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keperluan pembangunan Sarawak dan usaha memastikan negeri ini terus menikmati kemajuan seimbang dengan wilayah lain.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan sebanyak RM6 bilion dalam belanjawan yang akan datang. Sudah tentu, ini dapat merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Abang Johari turut menekankan kepentingan pelaksanaan pembangunan negara secara seimbang agar Sarawak turut menikmati limpahan ekonomi dan kemajuan yang pesat.

“Apa yang lebih penting ialah memastikan hala tuju pembangunan ekonomi negara turut memberi tumpuan yang lebih kepada Sarawak,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peningkatan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta pada 2023.

Ia sebagai langkah yang dilihat sebagai pengiktirafan terhadap status serta keperluan pembangunan kedua-dua wilayah itu.-BH Online