SERDANG, 11 Oktober – Malaysia merupakan sebuah negara yang terbentuk daripada rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa, namun bersatu di bawah satu identiti nasional.
Identiti bersama itu menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian negara.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, tema “harmoni dalam kepelbagaian” diperkenalkan bagi memperkukuh keharmonian masyarakat.
Tema berkenaan mencerminkan realiti masyarakat majmuk Malaysia, di mana perpaduan hanya dapat dicapai melalui penerapan nilai saling memahami, menghormati, menerima dan meraikan antara satu sama lain.
“Sekarang ini, kita menggunakan prinsip atau slogan faham, hormat dan terima. Seterusnya ialah raikan dan inilah konsep yang kita gunakan ketika ini bagi memastikan rakyat memahami rakan-rakan daripada pelbagai agama, bangsa, etnik dan budaya.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja memahami, tetapi juga menerima dan akhirnya meraikan kepelbagaian yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Negara Bersama Pelajar Baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Tambahnya, dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran seperti perpecahan dan perbezaan identiti, usaha membina negara bangsa bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.
Langkah itu penting bagi menjamin kestabilan dan kemajuan, khususnya dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia.-Berita RTM