NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan pemakaian penutup muka di semua sekolah bagi membendung penularan penyakit berjangkit seperti Influenza (ILI), bukan sahaja dalam kalangan murid tetapi juga guru dan petugas sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata KPM telah menyelaraskan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) semasa bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merangkumi langkah-langkah pencegahan membabitkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebersihan warga sekolah.
“Dalam masa sama, KPM juga memantau sepenuhnya gejala ini dan telah mengingatkan semua negeri, khususnya pengarah pendidikan serta kepimpinan tertinggi KPM, untuk melaksanakan langkah-langkah yang telah ditetapkan di bawah garis panduan sedia ada.
“Garis panduan ini berpandukan pedoman KKM dan kita telah mengeluarkan peringatan agar sekolah sentiasa memantau situasi, mengambil langkah pencegahan, menjaga kesihatan, keselamatan serta kebersihan, dan menggalakkan pemakaian pelitup muka di sekolah,” katanya di sini hari ini.
Fadhlina berkata, setakat ini terdapat beberapa kes jangkitan influenza yang dikesan di sekolah namun keadaan masih terkawal dan pemantauan berterusan dilaksanakan terhadap murid serta guru.
Rawatan awal penting elak komplikasi serius akibat influenza – KKM
Sementara itu BERNAMA melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap jangkitan influenza, khususnya ketika musim peningkatan kes.
Rawatan awal penting bagi mengelakkan komplikasi serius akibat jangkitan influenza, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik.
“Secara umumnya, influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus. Bagaimanapun individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan atau keletihan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran terutama bagi kanak-kanak dan individu berisiko tinggi,” menurut KKM.
Kematian kanak-kanak akibat radang otak
Mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dari Samarahan, Sarawak yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu di Hospital Umum Sarawak (HUS), KKM memaklumkan hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah radang otak (ensefalitis) yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis virus.
“Pelbagai ujian makmal telah dijalankan bagi menentukan punca kematian. Antara keputusan makmal yang didapati positif adalah Influenza A, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, siasatan awal mendapati pesakit mula mengalami demam panas pada 5 Oktober dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta keesokan hari (6 Oktober).-BH Online