KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan setiap sen daripada RM6.088 bilion peruntukan diterima melalui Belanjawan 2026 dibelanjakan untuk memberi kesan langsung kepada rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada empat sektor utama iaitu perumahan, kerajaan tempatan, kesejahteraan komuniti dan perkhidmatan kebombaan.
“Sebanyak 12 inisiatif utama digariskan seperti Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata Awam dan Swasta (RM143 juta), Program Residensi Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat (RM672 juta), Pengecualian Duti Setem Bagi Pembelian Rumah Pertama, Pelanjutan Skim Jaminan Kredit Perumahan (RM10 bilion), pembinaan gerai dan baik pulih Pasar Awam (RM60 juta), menaik taraf longkang dan parit (RM55 juta) dan membaik pulih dan menaik taraf Tandas Awam (RM95 juta).
“Pembangunan Kampung Baru Cina dan Perkampungan India (RM90 juta), membaik pulih dan menyelenggara rumah ibadah bukan Islam (RM50 juta), Pembinaan Kediaman Rakyat bersama KKDW (RM500 juta), sosioekonomi komuniti PPR bersama KBS (RM5.28 juta) dan Kemudahan Perumahan Penjawat Awam bersama KDN dan KPM (RM2.2 Bilion),” katanya melalui kenyataan hari ini.
Kor Ming berkata, pengagihan peruntukan besar kepada KPKT membuktikan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan kementerian meneruskan agenda pemerkasaan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh persekitaran hidup yang mampan dan inklusif.
Justeru, melalui belanjawan kali ini, pihaknya mahu memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih berdaya saing dan komuniti masyarakat terus bersama dengan semangat Malaysia Madani.
“Belanjawan 2026 turut memberi penekanan dalam menegakkan akauntabiliti dan integriti semasa pelaksanaan dasar dan projek.
“Usaha ini bagi mewujudkan keyakinan bahawa kemajuan negara dibina atas asas kepercayaan dan ketelusan,” katanya.-BH Online