Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH, 11 Oktober- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti komitmen kerajaan memperkukuh pembangunan belia serta komuniti sukan di seluruh negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peningkatan peruntukan inisiatif Rakan Muda sebanyak 60 peratus iaitu daripada RM25 juta kepada RM40 juta akan memperluas pelaksanaan program di semua peringkat.

Menurutnya, dana tambahan itu memberi tumpuan kepada latihan kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan belia bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran.

“Antara faktor pengangguran belia ialah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris. Peruntukan tambahan ini akan digunakan bagi melengkapkan persediaan belia di bawah Rakan Mahir supaya kadar pengangguran dapat diturunkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Hari Sukan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, pagi ini.

Selain itu, program Road To Gold turut menerima tambahan peruntukan sebanyak RM2 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM12 juta untuk persiapan Sukan SEA dan Para ASEAN.-Berita RTM