KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Belanjawan 2026 bukan sekadar mengenai angka, tetapi menitikberatkan kesejahteraan golongan pekerja yang merupakan tulang belakang kekuatan negara.
Menerusi perkongsian di X, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata kerajaan terus menyokong agenda 3K iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.
Belanjawan itu menekankan lima teras utama iaitu infrastruktur, kesihatan, kebajikan, kemahiran, dan kesejahteraan keluarga.
Antaranya, Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baharu akan dibina di Pulau Pinang, manakala Mahkamah Buruh Bergerak akan diperluas ke kawasan luar bandar.
“Dalam aspek kesihatan, subsidi hemodialisis PERKESO sebanyak RM170 dan saringan kesihatan untuk pemandu awam akan diteruskan.
“Bagi pekerja ekonomi gig, kerajaan memperkenal subsidi caruman PERKESO 70 peratus serta insentif mobiliti RM1,000 untuk pencari kerja.
“Manfaat i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut dinaikkan kepada RM6,000 seumur hidup, manakala RM11 bilion diperuntukkan bagi latihan pekerja dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Kenderaan elektrik (EV), dan semikonduktor,” katanya.
Sementara itu, pelepasan cukai penjagaan anak dilanjutkan hingga umur 12 tahun bagi meringankan beban ibu bapa bekerja.
Inisiatif terbabit menzahirkan komitmen kerajaan membela pekerja dan mempersiapkan mereka menghadapi cabaran ekonomi masa depan. – BH Online